Europe / Tips & Itinerary / Travel

Museum Day Trip Di Glasgow Yang Membuka Mata.

“Apalah dia orang buat dalam muzium tu. Tadi kata nak tengok-tengok saja, tapi dah dekat sejam setengah tunggu ni. Takde bayang nak keluar pun”, keluh aku sendirian.

Buntu dalam kereta, menunggu tetamu di tempat parking. Sudahlah sejuk kat luar nih.

“Macam mana? Best ke?”, saja buat-buat tanya bila mereka aku pick-up di perkarangan muzium. “Bestlah. Tak sangkalah kat dalam tu menarik”, ujar mereka.

Haaa sudah! Ni yang buat aku tak keruan ni. Apa yang menariknya? Muzium je kot. Penuh persoalan.

Aku ni sudahlah jenis yang tak suka tempat sebegitu. Muzium itu tempat membosankan.

Namun racun kata-kata mereka buat aku penesaran. Nak kena tengok ni, apa yang mereka maksudkan “best” itu.

Kes di atas berlaku 2 minggu lepas.

Akibat tidak tahan dengan mainan perasaan yang penuh dengan tanda tanya, aku ambil keputusan untuk buat personal “Museum Day Trip”. Cuba untuk menyingkap misteri itu.

Destinasi pertama, ke Kelvingrove Art Gallery & Museum (KAGM).

Kelvingrove Art Gallery & Museum

Sebenarnya, tengok sahaja perkataan “Art”, terus terbayang dalam kepala ini perihal gambar-gambar tergantung di dinding, yang hanya orang-orang seni sahaja yang faham dan kagumi.

Orang sains macam aku ni, memang nampak hanyalah gambar yang boleh dikategorikan kepada 2; “cantik” atau “tidak cantik”. Itupun berdasarkan pandangan mata semata-mata. Meneliti nilai-nilai seni? Memang ke laut.

Sebenarnya, bangunan KAGM ini terdiri dari dua tingkat. Muzium di tingkat bawah, dan Galeri seni di atasnya. Aku lebih banyak habiskan masa di bahagian muzium. Hihi. Orang beraliran teknikal ler katakan.

Melangkah masuk ke kawasan muzium, terkesima seketika. Aku suka tempat ini. Sungguh. Makin di-“explore”, makin menarik.

Huh, terus terasa sel-sel otak bersambung antara satu sama lain. Best-best!. Terus hilang persepsi buruk selama ini.

Suasananya sangat santai. Ada banyak patung-patung dan koleksi yang dipamerkan di setiap ceruk penjurunya.

Ikhlas kata, tiada langsung unsur-unsur stress muncul dari dalam diri aku sepanjang melewati setiap sudut di dalamnya.

Kunjungan ke sini seperti ke ruang pembelajaran secara visual. Jika di kebanyakan muzium, kita kena baca penerangan secara panjang lebar untuk faham sesuatu itu, namun di sini, ianya sebaliknya.

Sini hanya perlu melihat, tanpa perlu membaca. Kalau baca pun, hanya nama objek berkenaan.

Ada patung-patung binatang yang dibentuk dalam saiz sebenar. Sebesar-besar gajah dan setinggi-tinggi zirafah, semuanya dimuatkan dalam bangunan ini. Disusun sebaiknya mengikut kategori benua habitat asal mereka.

Dari koleksi haiwan yang biasa aku jumpa hinggalah ke haiwan yang tak pernah diketahui kewujudannya. Selain itu, ada juga sudut berkaitan Mesir purba, sejarah Glasgow, koleksi baju perisai antik, dan banyak lagi. Kesemuanya ada 22 ruang galeri (termasuklah di tingkat galeri seni).

Sedar tidak sedar, hampir 1 jam lebih juga berada di situ.

Riverside Museum of Transport and Technology (RMTT)

Mengambil kesempatan yang ada, aku juga berkunjung ke satu lagi muzium yang terletak tidak jauh dari situ. Riverside Museum of Transport and Technology (RMTT) namanya.

Di RMTT, pelbagai jenis koleksi pengangkutan ada. Dari sekecil-kecil kerusi roda sehinggalah sebesar-besar kapal dipamerkan. Semuanya dalam bentuk asal. Cuma kenderaan pengangkutan udara sahaja yang tiada. Nak letak kapal terbang, memang tak muatlah gamaknya.

Bangunannya sangat unik, berbentuk ombak, hasil ciptaan Zaha Hadad, seorang arkitek Islam yang tersohor. Ianya 1.5 tingkat, di mana tingkat bawah dimuatkan koleksi kenderaan bersaiz asal, manakala di tingkat atas khas untuk pra-model kapal.

Muzium ini betul-betul terletak di tepi Sungai Clyde. Mungkin sengaja dibina di situ bagi memberi peluang sebuah kapal (original ship) untuk dilabuhkan dan dipamerkan. Kapal ini diberi nama Tall Ship, satu-satunya bahan pameran yang berada di luar bangunan.

Sambil-sambil tinjau struktur dalam kapal, sempat jugalah ambil feel macam dalam filem Titanic. Berdiri di buritan kapal, dengan harapan angin dari sungai menyapa lembut muka dan rambut. Tapi, silap hari bulan daa. Yang datang bukan main “mesra” lagi, sejuk ya amat sampai kebas kedua-dua telinga. Terus hilang segala feel. Bergegas masuk bangunan semula. Sambung aktiviti.

Seperti KAGM, aku juga suka muzium ini. Selain koleksinya yang mantap, cara informasi disampaikan kepada audien itu juga menarik minat. Tiada panel bertulisan yang panjang lebar. Cuma ada panel touch screen. Ada banyak gambar di dalamnya. Penyampaian infonya melalui visual, bukan pembacaan.

Aku rasa, itulah sebenarnya rahsia asas mengapa pengunjung dari pelbagai lapisan umur gemar ke muzium di sini. Tak perlu nak perah otak bagai, cuma perlu tonton dan enjoy.

Kunjungan hari itu membuatkan persepsi aku terhadap muzium terutamanya di UK ini berubah sama sekali. Tempatnya sarat informasi, tapi langsung tidak membosankan.

Andainya aku, orang dewasa ini pun suka, apatah lagi anak-anak kecil. Pasti teruja.

Dikhabarkan di UK ini, muziumnya ada connection dengan pihak sekolah. Dijadikan muzium sebagai salah satu elemen dalam sistem pendidikan mereka. Tidak hairanlah ramai yang gemar ke tempat sebegini.

Untuk pengetahuan, KAGM terletak bersebelahan kawasan University of Glasgow. Di universiti juga, terdapat Hunterian Museum, iaitu muzium paling tua di Scotland. Sesuai dengan lokasinya di dalam universiti ulunh, koleksinya juga pastinya lebih bersifat ilmiah.

Fakta menarik, di Glasgow hampir kesemua muzium dan galeri di sini adalah percuma. Masuk sahaja, tidak perlu bayar apa pun (kecuali parking). Pastinya, KAGM, HM, dan RMTT juga free entry.

Terdapat lagi satu muzium yang biasa orang pergi di bandar ini. People’s Palace Museum, yang terletak di kawasan taman luas, Glasgow Green.

Di situ, pamerannya berkisar sejarah sosial masyarakat di Bandar Glasgow. Bunyinya agak “berat”. Namun, kepada yang ingin mengetahui secara lebih mendalam perihal Glasgow, inilah tempat yang tepat untuk kalian.

Andai kata berpeluang ke Glasgow, sudi-sudikanlah ke muzium yang ada. Kesemuanya senang diakses dan terletak di dalam zon pusat bandar.

Mengunjungi muzium di sini mungkin memberikan suatu pengalaman yang berbeza. Ianya sama sekali tidak seperti yang sering kita anggapkan.

Kenapa Muzium Sangat Dihargai Barat?

Selama ini, aku tertanya-tanya mengapa “mat salleh” sangat menghargai muzium. Melawat ke sesuatu tempat, pasti mereka masuk muzium yang ada di situ.

Berdasarkan pengamatan yang tidak berapa menyeluruh, secara peribadinya berkemungkinan kerana:

1. Penerapan sikap suka mencari ilmu sejak dari kecil. Muzium mereka menggunakan pendekatan lebih interaktif untuk menarik minat sejak kanak-kanak, dan ianya berterusan hinggalah mereka dewasa.

2. Bagi memahami budaya, sejarah, dan ketamadunan masyarakat setempat, ianya bermula dari tempat yang penuh informasi. Tidak lain tidak bukan, muzium lah tempatnya.

3. Kesempatan ke sesuatu tempat biasanya digunakan mereka untuk mempelajari sosio budaya tempatan semampu mungkin. Bukan sekadar bergambar, dan berlalu begitu sahaja. Mereka cuba belajar dan memahaminya dari muzium.

Apa-apa pun, nun di Kota London, dimaklumkan Natural History Museum nya lagi gempak. Koleksinya lagi banyak dan menarik. Pameran pun penuh interaktif.

InshaAllah, akan aku jadikan muzium itu tempat wajib pergi jika berkesempatan ke London pada masa mendatang.

Faizal Maliami
Singkap kalendar di dinding. Cari tarikh sesuai ke Natural History Museum London
_______
Nota Editor;
Artikel asal boleh diperolehi dari laman FB Faizal Maliami.

Tags: /