Europe / Travel Stories

Mencari Azan Di Sebalik Alam Indah Tanah Iceland

“Jom bergambar jom!” Isteri saya mengambil frame gambar kakaknya. Lalu mengajak adik-adik perempuan yang lain ikut.

Lalu Munirah dan Hana tidak mahu. Kakak sulong mereka hanya ada pada bingkai sahaja. Tubuhnya sudah tidak bersama mereka. Lalu pada hari pertunangan Hana tersebut, berpeluklah mereka bertiga, saling menangis di sebuah hari bahagia.

Almarhum Along sudah tiada. Itu adalah kenduri pertama yang kami semua tidak mendengar lagi suaranya, senyumannya dan apa sahaja persiapan dari tangannya.

Mac 2011, saya dan isteri menunaikan umrah. Semasa mengadap Kaabah buat kali pertama, saya menangis teresak-esak. Ia spontan, tak ada disuruh sesiapa. Juga tidak dipukul sesiapa untuk jadi sakit dan perit sebegitu rupa.

Kami berdua menunaikan umrah kemudiannya. Selesai betul-betul sebelum waktu subuh. Sekali lagi, ada rasa hiba, menangislah lagi dan lagi.

Semasa menonton Titanic pada tahun 1998, saya kagum benar dengan penceritaan Rose terhadap peristiwa itu. Saat Jack akhirnya mati lemas dan hilang begitu sahaja ditelan laut Atlantik, saya juga turut bersedih.

Namun pada tahun itu, saya berazam sangat untuk bertemu Glasier. Takkan saya lupa bagaimana saya berusaha sangat menaiki bas ke Temerloh kemudiannya ke Perpustakaan semata mahu mencari apalah Glasier ini sebenarnya.

Aisnya bagaimana, di mana ia terletak dan kenapa sukar benar mahu mencairkannya. Saya duduk di satu sudut membaca dan saya teringin sangat menyentuhnya.

Ais ini yang wujud dari air, kemudian mengeras beratus tahun menyebabkan kapal pelancongan yang dikata tak boleh tenggelam pada waktu itu karam hanya dengan satu pelanggaran.

Lalu beribu orang mati begitu sahaja.

Jokulsarlon

Hari ini, kami sampai di Jokulsarlon. Saya terus teringat momen saya duduk seorang diri di perpustakaan dan menyelak buku demi buku.

Dan akhirnya, saya jumpa dengan makhluk yang ini. Sedang asyik bermain mengambil gambar, memang ya rasa sebak juga. Allah berikan saya kesempatan untuk merasa keindahan ini.

Saya naik ke sebuah bukit. Berdiri mengadap lautan yang di permukaannya penuh Glasier yang sedang berlalu menuju ke muara.

Saya teringat isteri saya bercerita tentang kakaknya, “Along tu jaga sangat semua. Solat, solat malam, mengaji semua. Dia pergi mana-mana pun Along tetap jaga. Abang kenalah jaga juga. Kita tak tahu bila kita pergi.”

Semasa baru sahaja sampai di Lapangan Terbang, Iceland menyambut kami semua dengan hujan batu. Mendarat di kepala dan badan kami. Syukurlah ianya kecil dan comel-comel.

Kami terus sahaja ke Blue Lagoon, yang mana di situ ada geo thermal yang menjadikan ianya berasap dan merubah warna air kepada biru yang sangat cantik.

Perjalanan kami diteruskan hari ke hari.

Dari kawasan runtuhnya negara ini dengan gegaran, gempa dan banyaknya kesan lava dari gunung berapi, hinggalah hari ini ia menjadi cantik hingga berubah kepada kawasan pelancongan yang semakin disukai.

Iceland antara negara yang ditimpa banyaknya bala dan bencana sejak beratus tahun dahulu. Kriptonik yang berubah dan runtuh hingga menyebabkan paksi bumi bergerak, bersepah di sana sini. Batuan yang pecah, gunung terbelah serta kampung yang terpisah dek kerana gempa, juga boleh dilihat di sini.

Batuan juga berselerak di tepi jalan. Mana-mana pun kita akan berjumpa dengan pasir hitam legam. Semuanya dikatakan sebagai kesan dari lahar gunung berapi.

Azan Yang Sepi

Cuma kawan-kawan, disebalik cantik, indah, istimewa dan hebatnya bumi yang menjadi kegilaan anak muda dari segenap dunia hadir ke sini, ianya tidak punya suara azan.

Surau dan ruang solat belum lagi dibina. Buat masa ini, solatlah di mana-mana. Bentang tikar dan cari kiblat. Mengadaplah Tuhan dan dapatkan keindahan Iceland ini bersama dengan mensyukuri jemputan pencipta.

Hari ini, saya sedar seperkara. Pergilah ke mana-mana pun, ia memang sebuah jemputan dari Allah.

Waima jika ianya berupa ujian, itu tetap Allah yang ajak, datang dan tengoklah semuanya.

Ambil ia sebagai ingatan, telan ia sebagai makanan paling sedap pernah kita jumpa. Dan gunakanlah ia sebagai ubat dalam banyaknya menempuhi berbagai mehnah dan kerosakan.

Allah maha segalanya, dari Kaabah yang membawa kepada banyaknya ibadah, hingga ke dunia tanah tinggi yang banyaknya kesan dari kekuasaan Allah.

Tak ada taranya, ianya jelas dan sangat terang. Semuanya Allah yang buat. Datanglah ke sini, alami sendiri. #Iceland destinasi wajib setiap manusia. Ia bukan sekadar cantik, best dan seronok, ia tentang sebuah kemusnahan yang kini diangkat menjadi tanah yang diidam-idam ramainya orang.

Kekuasaan Allah untuk dijadikan panduan. Kematian, kehidupan, semuanya ada pengajarannya. Semoga di tanah ini semakin ramai orang solat, dan akan wujud ruang untuk kita semua mengadap Tuhan.

“Abang, Along memang dah tak ada, namun apa yang Along buat di hadapan kami semua, jadi ikutan buat kami adik-adik yang meneruskan kehidupan. Sungguhlah, hanya kebaikan yang akan diikut. Dan itu memberi pahala kepada yang sudah pergi.” – Huda (isteri saya).

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,
Akan datang lagi ke sini

 

______
Artikel asal boleh dirujuk pada laman FB Tuan Khairul Hakimin di sini.

Tags: /