Kalau tak pergi ke “plane wreck” di Iceland, tak lengkaplah perjalanan.

Gitu.

Biar saya ceritakan pengalaman kami ke sana.

#1
Lokasi “plane wreck” ini tidak diwartakan sebagai lokasi pelancongan Iceland (secara komersial). Ia terletak dalam kawasan hak milik peribadi yang jauh di tepi pantai Sólheimasandur. Bagi kalangan rakyat Malaysia, lokasi ini terkenal disebabkan lagu Gerua daripada filem Dilwale, lakonan Sharul Khan dan Milah Mukherji.

#2
Oleh kerana ia kawasan peribadi dan berpagar, pengunjung perlu memarkir kereta nun sejauh empat kilometer dari lokasi bangkai kapal terbang US Navy DC ini terhempas. Tidak ada sebarang bayaran dikenakan (parkir dan masuk ke kawasan berpagar).

#3
Empat kilometer (sehala) terdengar pendek, tetapi perjalanannya sangat mencabar. Cuaca sangat sejuk, ditambah dengan tiupan angin yang kencang datang dari pantai. Pemandangan juga sayup mata memandang kerana empat kilometer ini adalah tanah kosong yang rata semata-mata.

#4
Buang segala yang patut dibuang. Benar. Ini adalah seksaan yang tak tertanggung jika kau menyimpan bahan buangan terlarang di dalam segala pundi. Tidak ada tandas disediakan. Melainkan kau sanggup meluahkan segalanya di laut Sólheimasandur berombak ganas. Cuma saya sedikit was-was apabila membuang angin. Iyalah, tanah Iceland ini datang dari gunung berapi. Mana tahu kombinasi bahan bakar tanah dengan sisa perkumuhan tanpa rupa saya bisa mencetuskan letusan yang dasyat?

#5
Ya. Tandas kapal terbang yang terdampar itu juga tak boleh digunakan. Jangan cari pasal.

#6
Bawa bekalan air dan makanan bertenaga. Kita tak akan rasa berpeluh (kerana cuaca sejuk), tapi sebenarnya kita banyak kehilangan air dalam badan. Jadi, jangan tertipu. Kurma, coklat atau apa saja yang memberi tenaga cepat. Air paip Iceland yang berperisa oren, strawberi atau soda gembira pun memadai.

#7
Tenang saja. Tak perlu berlari dengan kelajuan dua minit per km. Langkah kecil (tapi laju) sudah memadai. Ikut kemampuan masing-masing. Nikmati saja angin sejuk pantai yang memedihkan kulit muka. Sambil berzikir.

#8
Bawa kamera. Yang ini kalau tak bawa, elok kau balik duduk di Gombak sana.

#9
Tak usah berangan nak jadi Kajol, pakai sari oren tunjuk pusat semua. Sejuk dan angin yang kuat, sampai pusat pun berdoa agar lemak perut kau menjadi tebal lapan inci untuk melindungi diri. Berani?

#10
Lemak perut saya dah naik tujuh inci. Kadar pencairan lemak di Tanah Ais & Api sangat perlahan.

Trivia

Pada 21 November 1973, kapal terbang US Navy DC ini terhempas kerana kehabisan minyak. Setelah disiasat, rupanya juruterbang tersalah punat untuk menukar tangki minyak yang ada. Tidak ada nyawa terkorban.

Sólheimasandur Plane Wreck berbaloi untuk mereka yang ada minat, semangat dan kekuatan fizikal. Total lapan kilometer berjalan di laluan yang tandus menjadi satu kepuasan yang agung untuk dijadikan kenangan.

_______
Sharulnizam Mohamed Yusof
Sharul Khan Yang Merindui Milah Mukherjee