Travel / Travel Stories

Dari Budapest, Hungary Mencari Alam Yang Damai Di Bario, Sarawak

Ketika di Bario tempoh hari, aku bermalam di rumah panjang etnik Kelabit yang dimiliki oleh Makcik Sina Rang Remulun. Rumah panjang ini masih mengekalkan struktur asal dan tradisi dalam persekitaran perubahan yang berlaku di sekelilingnya.

Usai makan tengah hari, tuan rumah menyambut kedatangan keluarga kecil warga asing yang baru tiba. Sepasang suami isteri serta dua orang anak mereka, dari Budapest, Hungary.

Malam itu, kami menyertai komuniti rumah panjang dalam sambutan hari kelahiran anak-anak Kelabit. Malam sebelumnya, mereka mengalu-alukan tetamu yang datang dengan persembahan etnik sebagai kenangan untuk dibawa pulang.

Sambil meraikan, aku mengambil peluang berbual dengan keluarga kecil dari Hungary tadi. Interaksi banyak bersama si ibu yang lebih fasih berbahasa Inggeris. Sesekali dicelah oleh suaminya dan anak-anak mereka.

Si ibu bernama Edina Szekula, seorang guru muzik atau lebih tepatnya guru instrumen cello. Aku mulanya ‘blur’ bagaimana rupanya alat itu. Setelah berusaha dia menerangkan, sebenarnya kita selalu lihat ‘big violin’ dalam persembahan orkestra kan?

“Can you share with me, Edina. How do you know about this place?”

Aku kagum, bagaimana orang luar yang sangat jauh dari Malaysia memilih untuk berada di kawasan pedalaman ini. Sedangkan aku kira, orang kita belum tentu semuanya tahu apa istimewanya Bario.

“I leave it to my husband when finding new places to explore. You know what, we love your jungle very much!”

kofnikel-sarawak-bario-hawa

Sense Of Adventure

Dari Budapest, mereka terus terbang ke Kuala Lumpur. Tanpa menjengah ‘city life’ seperti kebanyakan pelancong tipikal, langkah terus diatur menawan Gunung Kinabalu. Seterusnya ke Gua Mulu, dan akhirnya di Bario tempat kami bertemu.

Sepertinya, bukan biasa-biasa ‘sense of adventure’ mereka.

Edina belajar dan mengajar muzik, menjadikan ia satu wadah untuk lari seketika daripada tekanan kehidupan. Dia berada dalam alunan dunianya sendiri, bila mana cello digesek mengikut simfoni. Pilihan kerjaya ini bukan kerana wang, tetapi lebih kepada mengisi hati dan memberi ruang.

Menurutnya, kehidupan di Budapest diibaratkan seperti penjara ciptaan manusia. Dalam masyhurnya kota metropolitan itu yang sering dikunjungi pelancong seantero dunia, masih ramai yang terbelenggu dengan hakikat kesempurnaan yang tak pernah kunjung tiba.

Satu analogi Edina mengenai negaranya yang membuatkan aku terbungkam. Orang-orang tua di Hungary disama-dengankan ‘medicine’ (ubat-ubatan). Namun begitu, isu ini majoritinya bukan berpunca daripada penyakit fizikal. Sebaliknya datang daripada faktor dalaman diri, seperti tekanan dan depresi.

Kebergantungan kepada ubat-ubatan bagi rakyatnya meneruskan kehidupan. Kos kepada kerajaan dalam menyediakan keperluan bidang kesihatan. It’s like never ending story.

Aku fikir ia simptom global di mana-mana. Semakin maju dunia masa kini, dalam berkejaran memenuhi ekspektasi, kita sering terlupa terhadap fitrah insaniah. Orang kata, sesuatu masalah jika ingin diselesaikan harus melihat kepada punca.

Menjejak Kebebasan

Bagi Edina, dia memilih mencari sesuatu yang tiada di Budapest. Dengan kesedaran supaya simptom yang sama tidak melarat kepada keluarga, dia mengambil usaha menjejak kawasan ‘kebebasan’ yang ditawarkan di negara kita. Mega biodiversiti – hutan hujan Malaysia.

“Edina.. you inspire us to better appreciate our own place,” ujarku.

Dia menyambung, “We try to save money for a vacation like this, at least once a year. I’d like to teach my kids that this world has so much to offer, not just stuck at one place.”

Kadang-kadang, dalam manusia mengejar kekayaan dan kedudukan, ia seperti tidak boleh lari daripada tekanan yang membebankan. Boleh jadi perkara-perkara asas yang memberi nilai kepada sebuah kehidupan, bukan lagi menjadi keutamaan.

Cari lah ‘fulfillment’ dengan ‘contentment’. Biar ringkas dan sederhana, tapi tetap signifikan dan memberi makna.

Dunia ini cukup luas. Bagaimana Tuhan meletakkan kita pada suatu tempat yang tidak kita pilih, supaya kita bergerak melihat sisi lain yang dihamparkan pada alam. Dengan kepelbagaian ini, pada bahasa, budaya mahupun rupa, kita sebenarnya berkongsi makna pada nilai-nilai yang sama.

Mari kita teroka bumi Tuhan dalam erti kata yang sebenar kawan-kawan. Indahnya dunia Tuhan ciptakan, dan cara melihatnya juga mungkin berbeza bagi yang mahu berfikir atau menidakkan.

Akhirnya, berbalik juga kepada tujuan kehadiran kita di dunia ini. Menjadi hamba kepada Yang Satu, dan sebagai khalifah kepada yang ramai.

Hawa Mayati
Tak punya apa-apa

________
Nota Editor;
Artikel asal boleh diperolehi dari laman FB Hawa Mayati.

Tags: